Blog komuniti ini dibangunkan untuk mendekatkan ahli-ahli kariah dengan program dan aktiviti masjid. Hanya ahli kariah yang tahu, apa yang dimahukan. Pandangan dan cadangan dialu-alukan! Alangkah indah jika ia disampaikan secara berhemah pula.

Media Pengukuh Silaturahim Ahli Kariah

Jumaat, 8 Julai 2011

Siling Bocor


Masalah siling bocor akan berakhir tidak lama lagi kerana pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama kontraktor telahpun membuat lawatan tapak untuk menilai kos projek, minggu lalu.
     Bendahari, Haji Sidek Maamor yang ditemui di majlis khenduri cukur jambul cucu Haji Shaari Shariman sebentar tadi berkata, pihak JKR menganggarkan RM400,000 diperlukan bagi mengatasi masalah yang lama tertangguh itu.
     “Insya-Allah masalah ini akan dapat diatasi. Pihak jawatankuasa tentunya tidak mahu masalah ini terus berpanjangan kerana ia menyulitkan jemaah,” tegasnya.

Tahniah dan Syabas!

Tahniah Joni! Tuan merupakan ahli kariah pertama yang memberi respons mengenai paparan blog ini.Sejarah tuan tercipta di sini! Semoga tuan dapat terus memberi maklum balas bermakna kepada masjid kita.
Saudara Idris Mohamad! Syabas diucapkan kerana blog saudara merupakan yang pertama tersenarai dalam Blog Ahli Rafikmasjid selepas pelancaran.  Kandungannya boleh memberi manfaat kepada ahli-ahli kariah.
* Idris, mantan Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan IPG Kampus Raja Melewar kini tinggal di Taman Paroi Jaya.

Uji Ingatan

1. Siapakah imam pertama Masjid Kariah Paroi Jaya?
2. Siapa pula imam kedua?
3.Imam 1 yang ada sekarang ialah imam yang ke berapa?
4. Sudah berapa lamakah Imam I yang ada sekarang berkhidmat di masjid ini?
Jawab soalan ini dan hantarkan kepada rafikmasjid@gmail.com Hadiah menanti anda!

Sejarah Masjid

Taman Paroi Jaya Fasa 1 mula dibuka pada tahun 1978. Atas kesedaran perlunya tempat beribadat secara berjemaah, penduduk menubuhkan Persatuan Kebajikan dan Kemajuan Masyarakat Taman Paroi Jaya.
     Seksyen Agama pertubuhan ini mengambil inisiatif dengan menjadikan salah sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong Kenari 3 sebagai surau; dan kemudiannya berpindah ke sebuah rumah teres di Jalan Nuri.
     Idea tercetus kemudiannya untuk memohon tanah kepada kerajaan bagi mendirikan surau dan ianya mendapat kelulusan. Bagaimanapun idea itu dikembangkan untuk membina masjid dan sebuah jawatankuasa pembinaan telah ditubuhkan.
     Permohonan persempadanan kariah dibuat bagi membolehkan masjid dibina dan ia diluluskan pada tahun 1983.
     Jawatankuasa Pembinaan Masjid telah berusaha sedaya upaya dan menghadapi pelbagai cabaran dan halangan bagi mengumpul dana sebanyak RM1.4 juta untuk membina masjid berkenaan.
     Dengan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak, seorang kontraktor bumiputera, seorang hartawan Melayu, Kerajaan Negeri Sembilan dan derma daripada penduduk, pembinaan masjid dimulakan pada tahun 1987.
     Surau di Jalan Kedidi 3 (kini Sekolah Agama Rakyat) dijadikan tempat solat Jumaat dan aktiviti-aktiviti keagamaan ketika itu sementara menunggu masjid siap.
     Bagaimanapun pada tahun 1990, Jawatankuasa Pembinaan Masjid menghadapi masalah kewangan untuk menyiapkannya. Sehubungan itu projek berkenaan diserahkan kepada Kerajaan Negeri.
     Dalam tahun 1991, bangunan masjid siap dibina dan pihak Jabatan Kerja Raya telah menyerahkannya kepada Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan dan seterusnya menyerahkan kepada Jawatankuasa Pembinaan Masjid.
     Mulai 6 Disember 1991, Masjid Kariah Paroi Jaya dapat digunakan.
oleh: Zulkifli Abu

Rafik Masjid Perantara Jawatankuasa/ Pegawai - Ahli Kariah

Haji Zulkifli Abu, pentadbir blog Foto: A. Latif Ghonah
Pentadbir blog Rafik Masjid Kariah Paroi Jaya, Haji Zulkifli Abu berpeluang memperkenalkannya kepada jemaah yang hadir pada solat Jumaat hari ini (8 Julai 2011). Dalam penjelasan kira-kira lima minit itu, beliau menjelaskan matlamat pembangunan blog berkenaan dan meminta ahli kariah memanfaatkannya secara positif.
   "Blog ini boleh menjadi perantara yang berkesan di antara jawatankuasa/ pegawai masjid dengan ahli kariah; dan begitu sebaliknya," katanya.
  Menurut beliau, program dan aktiviti masjid perlu mendapat penilaian daripada kumpulan sasarnya sendiri iaitu ahli kariah sama ada ianya berkesan atau sebaliknya.
  "Mungkin selama ini, ahli kariah tidak berpeluang memberi maklum balas secara bersistem dan ia boleh menimbulkan kesan negatif.
  "Uji dan umpat boleh dielakkan, sekiranya ahli kariah disediakan saluran yang betul," tegasnya.
   Bagaimanapun, ujarnya sebagai pentadbir blog ini, beliau berharap teguran dan cadangan yang dilontarkan melalui blog ini perlu berhemah dan mengikut lunas-lunas Islam.
  "Tidak semestinya sesuatu masalah itu dapat diselesaikan dalam suasana marah-marah yang kemudiannya memungkinkan fitnah," tegasnya kemudian, ketika ditemui petang ini.

Khamis, 7 Julai 2011

Buku Baru!



Mulai minggu ini salah seorang tuan guru kita, Ustaz Shuhadak Mahmud akan menggunakan buku barunya "40 Teknik Rasulullah Mengajar" untuk kuliahnya. Bagi membolehkan kita mengikuti kuliahnya dengan berkesan, ahli-ahli kariah boleh membuat pesanan melalui Bendahari, Haji Sidek Maamor.
Harga pasaran: RM28.00
Pesanan melalui masjid: RM20.00

Pesanan juga boleh dibuat melalui E-Mel: rafikmasjid@gmail.com

Qari Kebangsaan Perdengar Suara

Antara jemaah wanita yang hadir
Encik Amirahman Abas, johan qari kebangsaan
YBhg Tengku Iftah
Qari peringkat Kebangsaan 2011, Encik Amirahman Abas turut memperdengar suara pada malam sambutan Israk Mikraj anjuran Masjid Kariah Paroi Jaya pada 2 Julai.
  Encik Amrihahman yang kini bertugas di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP), Labu berkata peluang yang diberi oleh pihak jawatankuasa penganjur amat dihargai.
  “Sejak menang baru-baru ini, ini kali pertama saya di undang mengaji di luar. Terima kasih Masjid Paroi Jaya!,” jelasnya.
  Hadirin yag memenuhi hampir sebahagian besar dewan solat, khusyuk mendengar bacaannya.
  Sambutan Israk Mikraj turut mendapat perhatian ahli kariah  apabila YBhg. Tengku Nor Iftah Tengku Jamil, Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam  Negeri turut diundang memberi ceramah. Mikraj.  
  Pada sebelah siangnya berlangsung Tilawah Ayat-ayat Lazim Peringkat Sekolah Rendah dan Pertandingan Melafaz Azan Terbuka.
  Seramai 20 murid dari Sekolah Kebangsaan Paroi Jaya dan Sekolah Kebangsaan KGV menyertai acara tilawah manakala 12 peserta menyertai acara melafaz azan.
  Sambutan Israk Mikraj tahun ini dikelolakan bersama oleh Jawatankuasa Pendidikan & Latihan dan Jawatankuasa Teknologi Maklumat dan Multimedia masjid.
  Hadiah disampaikan oleh Tuan Johani Hasan, Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
  Majlis jamuan malam turut diadakan selepas solat Isyak.
  

Selasa, 5 Julai 2011

Tandas Lima Bintang!

Alat pengering tangan...
Imam dan setiausaha masjid mencuba sinki baru
Nazir dan jawatankuasa masjid membuat penilaian

Bertaraf 5 Bintang! Itulah kata-kata usikan beberapa jemaah yang sering datang ke masjid kepada nazir, imam dan beberapa ahli jawatankuasa dan pegawai masjid.
     Tandas lelaki dan perempuan yang telah diubahsuai itu telah dapat mula digunakan sejak 1 Julai lalu. Ia bukan sekadar menggunakan bahan penyudah (ubin, paip, pintu dan lain-lain) yang bermutu tinggi tetapi mempunyai tarikan artistik.
     Tandas ini turut menyediakan kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan VIP.
     Tidak rugilah belanja yang dikeluarkan dan masa yang diambil untuk mendapatkan kualiti yang terbaik.
     Bagaimanapun terdengar juga usikan bahawa tandas VIP yang lebih kerap digunakan oleh pengunjung biasa. Jadi, perlukah salah satu tandas ini dilabel Tandas VIP?

Manfaatkan Teknologi Untuk Agama

Johani Hasan - Foto: A. Latif Ghonah
Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS), Tuan Johani Hasan meminta setiap masjid di negeri ini bertindak lebih kreatif untuk menarik ahli-ahli kariahnya ke masjid.
   Berucap di majlis penutupan sambutan Israk Mikraj dan pelancaran blog Rafik Masjid di Masjid Kariah Paroi Jaya, 2 Julai lalu, beliau mahukan teknologi terkini dimanfaatkan sepenuhnya kerana infrastruktur dan kepakaran mengenainya telah sedia ada di masjid-masjid khususnya di bandar.
 "Sebagai contoh, apa lagi yang tidak ada di masjid ini? Selain kemudahan asas, ramai ahli kariah di masjid ini mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.
    "Manfaatkan teknologi dan kepakaran mereka seoptimum mungkin," tegas beliau yang turut melancarkan tiga blog yang diusahakan ahli kariah. Blog-blog itu ialah komentarhariini.blogspot.com yang dikendalikan penulis skripnya, Shariff Ahmad yang tinggal di Taman Pinggiran Golf, ceritaapaapasaja.blogspot.com, milik penulis Zulkifli Abu (Taman Pinggiran Golf) dan suarahati.blogspot.com, kendalian penyair terkenal, Mahaya Mohd. Yassin (Taman Paroi Jaya).

Haziq dan Fatini Juara


Muhamad Haziq, murid SK KGV
Muhamad Haziq Farhan Murtadza dari Sekolah Kebangsaan KGV menjuarai  Tilawah Ayat-ayat Lazim dan Pertandingan Melafaz Azan, kelolaan Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Masjid Kariah Paroi Jaya yang berlangsung sempena sambutan Israk Mikraj pada 2 Julai lalu.
     Fatini Haziyah Abd. Hamid dari Sekolah Kebangsaan Paroi Jaya pula menjuarai kategori perempuan acara Tilawah Ayat-ayat Lazim. Dengan kemenangan ini, kedua-duanya memenangi hadiah wang tunai RM70.00, hadiah iringan sumbangan Bank Simpanan Nasional dan senaskhah Al-Quran bertulisan tangan sumbangan Yayasan Restu.
Fatini Haziyah(SK Paroi Jaya), johan perempuan
     Pemenang kedua Tilawah lelaki pula ialah Muhammad Muqri Abd. Rahim dan tempat ketiga, Amirul Aiman Abdul Aziz.

      Nur Insyirah Mohd Fadzilah dan Iylia Nadhirah Zahir pula menduduki tempat kedua dan ketiga kategori perempuan. Sementara itu pemenang tempat kedua dan ketiga acara Melafaz Azan dimenangi oleh Muhammad Muqri Abd. Rahim dan Muhammad Irwan Hanaffi Hazrol Nizam.
     Pemenang kedua dan ketiga memenangi hadiah wang tunai RM50.00 dan RM30.00 berserta hadiah iringan.
     Pertandingan dihakimkan oleh Haji Mohd Radzi Muhiddin (Ketua), Haji Munzir Othman dan Haji Ayob Abu Bakar.