Blog komuniti ini dibangunkan untuk mendekatkan ahli-ahli kariah dengan program dan aktiviti masjid. Hanya ahli kariah yang tahu, apa yang dimahukan. Pandangan dan cadangan dialu-alukan! Alangkah indah jika ia disampaikan secara berhemah pula.

Media Pengukuh Silaturahim Ahli Kariah

Ahad, 11 September 2011

Apabila Kita Lebih Banyak Bercakap!

Benar kata orang, alam persaraan itu adalah satu alam yang cukup bebas lepas. Bebas dalam konteks boleh melakukan apa-apa sahaja selain yang ditegah agama dan budaya.
     Kita tidak perlu lagi `mempertahankan baju pegawai kerajaan’, Perintah Am sama ada Bab A, B, C atau Q. Jadi aku manfaatkan sepenuhnya apa yang mahu aku lakukan asalkan bahagia.
     Semalam, hampir sehari suntuk aku menghabiskan waktu membantu Pertubuhan Khairat dan Kebajikan Kariah Paroi Jaya untuk mencari dana kebajikannya. Tarikh 10 September telah ditetapkan untuk Majlis Jamuan Makan Malam. 100 meja akan dijual yang setiap satunya (10 tempat duduk) bernilai RM500.00 (murah sahaja).
     Bagi menampung kos pencetakan buku program dan lebihannya akan turut menambah dana, aku dan Shariff Ahmad (Komentar Hari Ini, TV1) menawar diri menguruskan carian iklan.
     Peliknya dalam dunia hari ini (mungkin terlalu gerun peristiwa lalu yang cuma didengar), Nazir Masjid sendiri bagaikan mempertikaikan usaha kami.
     “Pastikan semua kutipan dibuat melalui resit pertubuhan,” katanya dalam suara Sang Pemerintah Agung dalam mesyuarat kelmarin.     
     Kalaulah tidak sabar, mahu sahaja aku membatalkan niat untuk menolong itu. Terfikir di hati sejak kebelakangan ini, `lebih susah untuk menjadi baik daripada untuk menjadi jahat.’
     Bagaimanapun prejudis nazir aku abaikan sahaja. Sudah dua kali dia menguji kesabaranku. Bulan lalu, rostrum yang aku tempah setelah mendapat arahan Setiausaha Masjid, Ustad Abdul Hamid Jaman ditolak mentah-mentah atas alasan rendah walhal rostrum itu direkabentuk berasaskan keperluan semasa (mudah mengendalikan komputer riba. Kalau tinggi, lenguh tangan dibuatnya).
     Inilah antara kekangan yang dihadapi generasi muda dengan yang tua yang terlalu rigid pegangannya. Baginya rostrum perlu tinggi dan kerana ketinggian itu bolehlah menyembunyikan sebahagian diri untuk lebih yakin berhadapan audiens (sukarnya keluar dari kotak, fikir hati). Pasal rostrum aku hilang RM850.00
     Berbalik kepada carian iklan, sejak jam 11.00 pagi aku tawaf dua deret kedai Taman Paroi Jaya. Sambil membawa rate-card yang aku design sendiri, aku menawarkan khidmat kepada mereka yang ingin mengiklankan perniagaannya di samping beramal jariah.
     Di samping membeli iklan dalam buku program, satu khidmat baru ditawarkan iaitu membeli sepanduk berukuran 15 kaki X 4 kaki yang mengiklankan Majlis Jamuan Makan Malam dan 1/3 daripada saiznya iklan ucapan `Selamat Hari Raya. Terima Kasih Kepada Pelanggan Yang Terus Setia Bersama Kami.’ Harganya RM300.00
     “No obligation!,” kataku kepada semua pekedai gentleman.
     Pelbagai pengalaman baru, aku alami. Pengalaman berurusan dengan peniaga Cina dan Mamak, dan tentunya sebahagian besarnya Melayu.
     Sebenarnya kedai Cina mudah di kira di taman perumahan yang mempunyai hampir 2,000 rumah ini iaitu Kedai Soon Lee Trading (dua unit) dan sebuah kedai telefon (menumpang B.A. Urusbina), dua restoran Mamak, satu pasar mini Mamak, satu Kedai Buku Mamak dan sebuah kedai Seven Eleven milik peniaga Cina yang semacam Melayu punya (taukenya tidak pernah dilihat dan pekerjanya semua Melayu).
     Peniaga-peniaga ini ramah melayanku walaupun khidmat yang aku bawa untuk kebajikan umat Islam. Malah mereka berterus-terang akan membawa perkara itu kepada bos mereka atau terus mengata,”Sorry! kerana tidak dapat membantu.”
     Bagi peniaga Melayu, ada yang berkerut dahinya (macamlah aku nak tembak kerana tidak membeli iklan) dan ada yang `menipu’, bos (isterinya) keluar walhal baharu awal bulan ini dia cukup bermegah kerana kedai makannya yang menawarkan 1,000 resipi juadah puasa itu.
     Tidak kisahlah. Kita bukan hendak paksapun mereka untuk beramal jariah tapi janganlah tambah dosa.
     Dipendekkan cerita, tidak seorangpun membeli ruang iklan itu. Hanya kira-kira setengah jam kemudian, seorang wanita yang ramah suaranya membuat panggilan.
     “Encik Zulkifli ha! Ini Soon Lee Trading. Kami nak beli iklan sepanduk RM300.00 itu,” katanya lembut.
dipetik daripada blog: ceritaapaapasaja

Majlis Tahlil, Berdua Sahaja



Haji Arifin Ab. Aziz (dua dari kanan) bersama sebahagian Jawatankuasa
Persembahan Malam Amal mengabadi kenangan dengan Kumpulan
Interacsee, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Setelah diminta menyerahkan laporan kewangan dan hasil keuntungan kepada bendahari sahaja oleh Pengerusi Jawatankuasa Persembahan Malam  Tabung Amal Jariah, Pertubuhan Khairat dan Kebajikan Kariah Paroi Jaya, Haji Zain Rais, aku terus menuju rumah Haji Arifin Ab. Aziz di Jalan Kedidi 2.

     Aku disambut ceria oleh Haji Arifin, pesara Pos Malaysia. Sambil menjamah kuih raya, aku membentangkan laporan satu halaman itu.

     “Kami dapat mengutip RM4,650.00 hasil jualan ruang iklan di buku program dan sepanduk ucapan Selamat Hari Raya kepada peniaga,” kataku.

     “Tak kisah! Tak kisah! Saya terima sahaja,” kata Haji Arifin berbasa-basi.

     “Saya perlu jelaskan kedudukan. Ini duit,” kataku meredakan keadaan.

     “Alaaah! Takkan saya tidak percayakan Tuan Haji,” jawabnya pula.

     “Saya perlu jelaskan kerana Tuan Haji tidak ada dalam perbincangan awal di Restoran Rabena. Ketika itu saya jelaskan anggaran kos cetakan buku program itu sekitar RM4.50 senaskhah. Kini kami tuntut RM3.90 sahaja,” tambahku.
     “Eloklah tu. Lagi murah,” tingkahnya.
     “Lihat laporan ini. Wang masuk RM4,650. Wang keluar iaitu upah cetak buku dan sepanduk RM4,500. Jadi untungnya cuma RM150.00.”
     Haji Arifin aku lihat terdiam seketika dan berlaku sedikit perubahan di wajahnya.
     Petang semalam, sewaktu aku menyerahkan dua keping cek bernilai RM500 sumbangan iklan, Haji Arifin tidak menggantikan dengan wang tunai seperti sebelumnya.
     “Ambil tunai ini sebagai ganti cek. Kami mahu menyenangkan Tuan Haji bekerja,” katanya ketika itu.
     Mungkin kerana kesibukan menjelang malam jamuan, Haji Arifin cuma sempat berkata, “nanti kontra sahajalah,” sambil berlalu pergi.
     Melihat Haji Arifin yang terdiam, aku segera menyambung penerangan.
     “Kalau mengikut persetujuan mesyuarat, kedua-dua pihak akan berkongsi keuntungan setelah ditolak kos cetakan. Jadi, masing-masing dapat RM75 sekarang,” kataku.
     Sambil menunggu reaksi Haji Arifin yang masih leka memandang kertas laporan, aku segera terbayang wajah Nazir Masjid yang menjadi Pengerusi Malam Tabung Amanah yang menyebut dalam mesyuarat, “Berikan resit pertubuhan kepada pihak yang hendak mencari iklan ini. Macam-macam boleh berlaku,” katanya bagai memperkecilkan kejujuran kami.
     “Jangan risau Tuan Haji,” kataku kepada Haji Arifin kembali.
     “Lihat Nota 2: Walaupun masing-masing cuma mendapat RM75 setiap pihak, Storyteller Production Sdn Bhd menggenapkan RM500 sebagai jariah kami kepada pertubuhan.”
     “Selain pertubuhan mendapat buku program bernilai RM3,900, Tuan Haji tidak perlu memberikan saya tunai cek RM500 itu,” kataku.
     “Kontra sahaja.”
     Tiba-tiba sahaja wajah Haji Arifin berubah ceria kembali.
     “Siapa nama aruah ayah dan emak Tuan Haji? Mari kita sama-sama membaca tahlil kepada mereka.”
     “Minta maaf! Kedua-dua emak dan abah saya masih ada.”
     “Maaf! Maaf! Maaf!,” Haji Arifin memelukku lalu kami berdua bertahlil untuk kedua-dua ibu dan bapa mentuaku dan ayah Shariff Ahmad yang meninggal dunia, kelmarin.
dipetik daripada blog: ceritaapaapasaja

Selasa, 6 September 2011

Suara Jemaah Didengari

Alhamdulillah! Hasil undian yang dibuat melalui blog ini, Jawatankuasa Pengurusan Masjid telah menanggalkan Label VIP yang terdapat pada salah satu tandas.
Begitu juga teguran mengenai kedudukan pasu bunga yang boleh menghalang laluan, ia telah dipindahkan. Tahniah!

Kursus Lanskap

Biro Pendidikan dan Latihan Masjid Kariah Paroi Jaya bercadang menganjurkan Kursus Lanskap dalam tempoh terdekat. Kursus selama dua hari ini (Sabtu dan Ahad) akan dikendalikan oleh profesional terlatih. Peserta perlu berusia 18 tahun ke atas. Mereka yang berminat, sila maklumkan kepada kami melalui e-mel ini - rafikmasjid@gmail.com
* Pemilihan dibuat berasaskan siapa dulu, dia dapat tempat.

Isnin, 29 Ogos 2011

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin

RAFIK MASJID mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua pengunjung. Datangi masjid seawal jam 8.00 pagi esok untuk bersama-sama menunaikan Sembahyang Sunat Aidilfitri.
   Allahu Akbar Allah Hu Akbar Allah Hu Akbar...
   Sesungguhnya DIA YANG MAHA BESAR.
   Amin!

Khamis, 25 Ogos 2011

JUZ 25 AL-QURAN, BERMULA PADA MUKA SURAT BERAPA?

Sebagaimana kita sedia maklum, kita sedang berada di penghujung bulan Ramadhan al-Mubarak 1432 Hijrah. Bermakna tidak lama lagi kita akan meninggalkan bulan Ramadhan, bulan yang kita rindui kedatangannya pada setiap tahun. Seperti yang disarankan, dalam bulan Ramadhan, kita perbanyakkan membaca Al-Quran.
Kadangkala kita menghadapi masalah untuk mencari muka surat atau halaman sesuatu juz dalam Al-Quran. Sebagai contoh, juz 25 bermula muka surat berapa di dalam Al-Quran? Bagi mereka yang sudah mahir tentang Al-Quran tentu dengan mudah mencarinya. Tetapi bagaimana dengan orang yang baru berjinak dengan Al-Quran? Berikut adalah cara mudah untuk menentukan permulaan muka surat sesuatu juz berdasarkan kaedah matematik.
Katakan kita hendak mencari muka surat berapa bermulanya juz 25
1) 25 -1 = 24   (tolak 1 adalah tetap)
2) 24 x 2 = 48  (darab 2 adalah tetap)
3) 48 diletakkan angka 2 dihujungnya => 482  (letak angka 2 adalah tetap)
4) Maka juz 25 bermula pada muka surat 482


Contoh ke 2: Juz 13
1) 13 - 1 = 12
2) 12 x 2 = 24
3) Letakkan angka 2 dihujung 24 => 242
4) Maka juz 13 bermula pada muka 242


Wallahhulam...Selamat mencuba


dipanjangkan info oleh: HJ. IDRIS MOHAMAD


Selasa, 2 Ogos 2011

Tazkirah Subuh

Tazkirah Subuh, Jam 6.40 pagi, 3 Ramadhan 1437 (3 Ogos 2011)
Penyampai: Haji Abd Hamid Jaman
Tajuk: Fadhilat Ramadhan

“Barang siapa yang bergembira menyambut kehadiran bulan Ramadhan, pasti Allah mengharamkan tubuhnya atas neraka apa saja.”
    Pada malam pertama bulan Ramadhan Allah berfirman, “Siapa mencintai-Ku, pasti Aku mencintainya, siapa mencari rahmat-Ku, pasti rahmat-Ku pun mencarinya, dan siapa beristighfar kepada-Ku, pasti Aku mengampuninya, berkat hormat bulan Ramadhan, lalu Allah menyuruh malaikat mulia pencatat amal, khusus dalam bulan Ramadhan supaya menulis amal kebaikan semata, tidak mencatat perbuatan kejahatan mereka, dan Allah menghapus dosa-dosa terdahulu bagi mereka.”
Ustaz Abd Hamid Jaman

     AS diwahyukan awal malam bulan Ramadhan, kitab Taurat malam ke-6 Ramadhan (terpaut 700 tahun dengan Shuhuf Ibrahim AS), kitab Zabur malam ke-12 Ramadhan (terpaut 500 tahun dengan Taurat), Kitab Injil Malam ke-18 Ramadhan (terpaut 1200 tahun dengan Zabur), sedangkan kitab Al Quran malam ke-27 Ramadhan (terpaut 620 tahun dengan Injil).
     Ketika awal hari (hilal) bulan Ramadhan telah tampak berserulah ‘Arasy, Kursi, dan para malaikat serta makhluk lainnya dengan keras, kata mereka, ”Beruntunglah sekalian umat Muhammad, dengan kemuliaan disisi Allah SWT, kerana segenap makhluk memohonkan ampun bagi mereka, mulai dari makhluk besar seperti matahari, bulan, bintang-bintang, dan burung-burung di langit, serta ikan-ikan di lautan, hingga setiap hewan dan binatang melata di bumi yang bernafas, semua tiada tertinggal memohonkan ampun buat mereka di siang dan malam hari, kecuali setan-setan terkutuk. Maka pagi-pagi tiada seorangpun yang dibiarkan hidup penuh dosa, mereka diampuni oleh Allah Swt. Bahkan Allah menyeru para malaikat, “Hadiahkanlah semua pahala shalawat dan tasbihmu selama bulan Ramadhan bagi umat Muhammad SAW.”
     Bahwasannya seorang pria bernama Muhammad, ia tiada pernah shalat sama sekali, kemudian di saat bulan Ramadhan tiba, tersentuhlah hatinya untuk bertaubat dan beribadah kepada Allah SWT. Sejak awal Ramadhan ia berhias diri dengan pakaian indah dan minyak harum, lalu ia kerjakan shalat dan mengqadha seluruh shalat yang ia tinggalkan selama hidupnya.
    Tiba-tiba datanglah seorang kawan bertanya, “Kenapa anda lakukan yang demikian ini?” Jawabnya, “Ketahuilah kawan, bahwa bulan ini adalah bulan taubat, bulan penuh rahmat dan kebaikan, semoga dengan demikian (bertaubat dan beribadah) sebagaimana layaknya manusia berikhtiar, Allah mengampuni segala dosaku.” 

     Kemudian, setelah sekian tahun pria yang bernama Muhammad itu meninggal dunia. Seorang kawan bertemu dengannya didalam mimpi dan ketika ditanya, “Balasan apakah yang selama ini kau rasakan dalam alam baka dari Allah Swt?” Jawabnya, “Allah mengampuni segala dosaku dengan kemuliaan-Nya, berkat menghormat bulan suci Ramadhan, dan aku menyambutnya dengan bertaubat serta beribadah didalamnya.”
     Dari Sayyidina Umar bin Khattab, Nabi SAW bersabda, “Di bulan Ramadhan, apabila seorang terbangun dari tidurnya lalu menggerakkan tubuhnya di atas ranjangnya, maka malaikat berkata, “Bangunlah segera, semoga Allah memberkati dan memberikan rahmat kepadamu.” Kemudian apabila ia tegak hendak melakukan shalat (ibadah di malam hari), maka ranjang tempat ia tidur pun berdoa, “Ya Allah, gantikanlah ranjang-ranjang (kasur) tinggi tebal baginya.”
     Dan ketika ia memakai pakaian, maka pakaian itupun berdoa, “Ya Allah, berilah ia pakaian indah dari syurga.” Di saat memakai sandal, sandalpun berdoa, “Ya Allah, teguhkanlah kedua kakinya di atas shirat.” Ketika menuju (kolam) tempat air, maka tempat airpun berdoa, “Ya Allah, berilah ia tempat-tempat minum dari syurga.” Ketika ia berwudhu, airpun berdoa,”Ya Allah, bersihkanlah ia dari segala noda dan dosa.” Akhirnya ketika ia tegakkan solat di dalam rumah, maka rumahnya ikut berdoa, “Ya Allah, lapangkanlah kuburnya dan terangilah liangmya, serta tingkatkanlah rahmat, kasih sayang-Mu padanya.”
   Doa mereka dikabulkan dan Allah memandang orang tersebut penuh kasih sayang, firman-Nya, “Hai hamba-Ku, kamu yang berdoa dan Akulah yang mengabulkan, kamu meminta dan Akulah yang memberi, kamu beristighfar dan Aku yang memberi ampunan.”
Bahwasannya kelak di hari kiamat, Ramadhan bakal menghadap Allah dengan paras indah, seraya bersujud kepada-Nya, lalu Allah berfirman, “Ya Ramadhan mohonlah apa yang menjadi keinginanmu, dan tolonglah orang yang mengenal (memenuhi) hakmu,” kemudian ia berputar menelusur padang luas mencari mereka yang telah memenuhi haknya, ia ajak mereka dan menolong mereka, akhirnya sampailah dihadapan Allah SWT dan Allah berfirman, “Ya Ramadhan apa yang kauinginkan?”
   Jawabnya, “Aku menginginkan supaya mereka diberi mahkota kebesaran.” Maka Allah berkenan memberi 1,000 mahkota, dan selanjutnya memberi syafaat kepada 70,000 yang berbuat dosa besar, dan memberi 1,000 bidadari sebagai pasangan mereka, di mana setiap bidadari membawa 70,000 orang gadis, kemudian dinaikkan ke atas kenderaan Buraq yang mewah, firman Allah, “Ya Ramadhan apa lagi yang kau inginkan dari-Ku?” Jawabnya, “Tempatkanlah mereka disisi Nabi-Mu.” Maka Allah tempatkan mereka di syurga Firdaus.
     Firman Allah, “Apa lagi yang kau inginkan dari-Ku? Jawabnya, “ Ya Allah Engkau telah memenuhi keinginanku, dimanakah kemuliaan-Mu?” Lalu Allah memberi mereka 100 negeri yang terbuat dari batu permata merah indah dan batu pualam hijau, dimana 1,000 bangunan istana megah terdapat di setiap negeri tersebut.”
     Dari Ibnu Abbas Ra, Nabi Saw bersabda, “Adalah di awal Ramadhan, angin Matsirah berhembus dari bawah “Arasy, dan bergoyanglah daun-daun pohon surga, lalu mengeluarkan bunyi irama suara merdu yang belum pernah didengar siapapun, hingga serombongan bidadari tercengang mendengarnya dan memperhatikan sumber bunyi suara merdu tersebut, sambil berdoa, “Ya Allah, jadikanlah bagi kami pasangan suami istri dengan hamba-Mu dalam Ramadhan ini.” Maka tiada seorang yang puasa di bulan Ramadhan kecuali menjadi pasangan para bidadari pingitan tersebut.” Sebagaimana firman Allah Swt, “Para bidadari cantik jelita menggiurkan, putih bersih, dipingit dalam kemah.” (Ar Rahman: 72). Pada setiap bidadari tersebut berhias dengan 70 aneka perhiasan warna-warni, dan bagi setiap wanita ranjang tidur terbuat dari permata merah indah bersulam mutiara, dan di setiap ranjang dipasang 70 kasur tebal berikut perabot lainnya, disamping 70 buah meja makan penuh aneka hidangan lazat-lazat yang dipersiapkan buat mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan, selain kebaikan amal perbuatannya.
     Dari Anas bin Malik Ra, Rasulullah SAW bersabda, “Di bulan Ramadhan, bagi orang yang mengikuti majlis ilmu untuk mendengarkan pengajian, maka Allah mencatat baginya setiap langkah menjadi ibadah penuh setahun, dan ia bakal menyertaiku di bawah naungan ‘Arasy, siapa aktif berjamaah selama Ramadhan, maka Allah memberinya setiap rakaat menjadi suatu kota penuh kenikmatan, dan siapa berbakti kepada bapak ibunya selama Ramadhan, maka ia diberi pandangan penuh rahmat Allah SWT,, dan aku (Nabi Muhammad SAW) memberi jaminan penuh di syurga padanya. Kemudian tiada seorang wanita (isteri) berbakti kepada suaminya selama Ramadhan, kecuali pahalanya seimbang dengan pahala yang diperoleh Siti Maryam ibu Nabi Isa dan Siti Asiah isteri raja Firaun, yang teguh beriman sekalipun dihadapkan pada hidup dan kehidupan penuh ujian, dan siapa membantu sesama saudara Muslim dalam rangka memenuhi hajat hidupnya selama Ramadhan, maka Allah menggantinya dengan memenuhi 1,000 hajatnya di hari kiamat.”
     Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah Saw bersabda, “Siapa memberi lampu penerang di masjid Allah mana saja dalam bulan Ramadhan, maka Allah mengganti lampu penerang baginya di alam kubur, dan Allah memberi pahala baginya sebesar pahala para jamaah yang shalat di masjid tersebut, ditambah dengan shalawat sekalian para malaikat kepadanya, serta para petugas penanggung ‘Arasy memohonkan ampun baginya, selama lampu penerang tersebut dimanfaatkan di dalam masjid.”