Kita tidak perlu lagi `mempertahankan baju
pegawai kerajaan’, Perintah Am sama ada Bab A, B, C atau Q. Jadi aku manfaatkan
sepenuhnya apa yang mahu aku lakukan asalkan bahagia.
Semalam, hampir sehari suntuk aku
menghabiskan waktu membantu Pertubuhan Khairat dan Kebajikan Kariah Paroi Jaya
untuk mencari dana kebajikannya. Tarikh 10 September telah ditetapkan untuk
Majlis Jamuan Makan Malam. 100 meja akan dijual yang setiap satunya (10 tempat
duduk) bernilai RM500.00 (murah sahaja).
Bagi menampung kos pencetakan buku program
dan lebihannya akan turut menambah dana, aku dan Shariff Ahmad (Komentar Hari
Ini, TV1) menawar diri menguruskan carian iklan.
Peliknya dalam dunia hari ini (mungkin
terlalu gerun peristiwa lalu yang cuma didengar), Nazir Masjid sendiri bagaikan
mempertikaikan usaha kami.
“Pastikan semua kutipan dibuat melalui
resit pertubuhan,” katanya dalam suara Sang Pemerintah Agung dalam mesyuarat
kelmarin.
Kalaulah tidak sabar, mahu sahaja aku
membatalkan niat untuk menolong itu. Terfikir di hati sejak kebelakangan ini,
`lebih susah untuk menjadi baik daripada untuk menjadi jahat.’
Bagaimanapun prejudis nazir aku abaikan
sahaja. Sudah dua kali dia menguji kesabaranku. Bulan lalu, rostrum yang aku
tempah setelah mendapat arahan Setiausaha Masjid, Ustad Abdul Hamid Jaman
ditolak mentah-mentah atas alasan rendah walhal rostrum itu direkabentuk
berasaskan keperluan semasa (mudah mengendalikan komputer riba. Kalau tinggi,
lenguh tangan dibuatnya).
Inilah antara kekangan yang dihadapi
generasi muda dengan yang tua yang terlalu rigid pegangannya. Baginya rostrum
perlu tinggi dan kerana ketinggian itu bolehlah menyembunyikan sebahagian diri
untuk lebih yakin berhadapan audiens (sukarnya keluar dari kotak, fikir hati).
Pasal rostrum aku hilang RM850.00
Berbalik kepada carian iklan, sejak jam
11.00 pagi aku tawaf dua deret kedai Taman Paroi Jaya. Sambil membawa rate-card yang aku design sendiri, aku menawarkan khidmat kepada mereka yang ingin
mengiklankan perniagaannya di samping beramal jariah.
Di samping membeli iklan dalam buku
program, satu khidmat baru ditawarkan iaitu membeli sepanduk berukuran 15 kaki
X 4 kaki yang mengiklankan Majlis Jamuan Makan Malam dan 1/3 daripada saiznya
iklan ucapan `Selamat Hari Raya. Terima Kasih Kepada Pelanggan Yang Terus Setia
Bersama Kami.’ Harganya RM300.00
“No
obligation!,” kataku kepada semua pekedai gentleman.
Pelbagai pengalaman baru, aku alami.
Pengalaman berurusan dengan peniaga Cina dan Mamak, dan tentunya sebahagian
besarnya Melayu.
Sebenarnya kedai Cina mudah di kira di
taman perumahan yang mempunyai hampir 2,000 rumah ini iaitu Kedai Soon Lee
Trading (dua unit) dan sebuah kedai telefon (menumpang B.A. Urusbina), dua
restoran Mamak, satu pasar mini Mamak, satu Kedai Buku Mamak dan sebuah kedai
Seven Eleven milik peniaga Cina yang semacam Melayu punya (taukenya tidak pernah
dilihat dan pekerjanya semua Melayu).
Peniaga-peniaga ini ramah melayanku
walaupun khidmat yang aku bawa untuk kebajikan umat Islam. Malah mereka
berterus-terang akan membawa perkara itu kepada bos mereka atau terus mengata,”Sorry! kerana tidak dapat membantu.”
Bagi peniaga Melayu, ada yang berkerut
dahinya (macamlah aku nak tembak kerana tidak membeli iklan) dan ada yang
`menipu’, bos (isterinya) keluar walhal baharu awal bulan ini dia cukup
bermegah kerana kedai makannya yang menawarkan 1,000 resipi juadah puasa itu.
Tidak kisahlah. Kita bukan hendak paksapun
mereka untuk beramal jariah tapi janganlah tambah dosa.
Dipendekkan cerita, tidak seorangpun
membeli ruang iklan itu. Hanya kira-kira setengah jam kemudian, seorang wanita
yang ramah suaranya membuat panggilan.
“Encik Zulkifli ha! Ini Soon Lee Trading.
Kami nak beli iklan sepanduk RM300.00 itu,” katanya lembut.
dipetik daripada blog: ceritaapaapasaja
dipetik daripada blog: ceritaapaapasaja