Blog komuniti ini dibangunkan untuk mendekatkan ahli-ahli kariah dengan program dan aktiviti masjid. Hanya ahli kariah yang tahu, apa yang dimahukan. Pandangan dan cadangan dialu-alukan! Alangkah indah jika ia disampaikan secara berhemah pula.

Media Pengukuh Silaturahim Ahli Kariah

Ahad, 11 September 2011

Apabila Kita Lebih Banyak Bercakap!

Benar kata orang, alam persaraan itu adalah satu alam yang cukup bebas lepas. Bebas dalam konteks boleh melakukan apa-apa sahaja selain yang ditegah agama dan budaya.
     Kita tidak perlu lagi `mempertahankan baju pegawai kerajaan’, Perintah Am sama ada Bab A, B, C atau Q. Jadi aku manfaatkan sepenuhnya apa yang mahu aku lakukan asalkan bahagia.
     Semalam, hampir sehari suntuk aku menghabiskan waktu membantu Pertubuhan Khairat dan Kebajikan Kariah Paroi Jaya untuk mencari dana kebajikannya. Tarikh 10 September telah ditetapkan untuk Majlis Jamuan Makan Malam. 100 meja akan dijual yang setiap satunya (10 tempat duduk) bernilai RM500.00 (murah sahaja).
     Bagi menampung kos pencetakan buku program dan lebihannya akan turut menambah dana, aku dan Shariff Ahmad (Komentar Hari Ini, TV1) menawar diri menguruskan carian iklan.
     Peliknya dalam dunia hari ini (mungkin terlalu gerun peristiwa lalu yang cuma didengar), Nazir Masjid sendiri bagaikan mempertikaikan usaha kami.
     “Pastikan semua kutipan dibuat melalui resit pertubuhan,” katanya dalam suara Sang Pemerintah Agung dalam mesyuarat kelmarin.     
     Kalaulah tidak sabar, mahu sahaja aku membatalkan niat untuk menolong itu. Terfikir di hati sejak kebelakangan ini, `lebih susah untuk menjadi baik daripada untuk menjadi jahat.’
     Bagaimanapun prejudis nazir aku abaikan sahaja. Sudah dua kali dia menguji kesabaranku. Bulan lalu, rostrum yang aku tempah setelah mendapat arahan Setiausaha Masjid, Ustad Abdul Hamid Jaman ditolak mentah-mentah atas alasan rendah walhal rostrum itu direkabentuk berasaskan keperluan semasa (mudah mengendalikan komputer riba. Kalau tinggi, lenguh tangan dibuatnya).
     Inilah antara kekangan yang dihadapi generasi muda dengan yang tua yang terlalu rigid pegangannya. Baginya rostrum perlu tinggi dan kerana ketinggian itu bolehlah menyembunyikan sebahagian diri untuk lebih yakin berhadapan audiens (sukarnya keluar dari kotak, fikir hati). Pasal rostrum aku hilang RM850.00
     Berbalik kepada carian iklan, sejak jam 11.00 pagi aku tawaf dua deret kedai Taman Paroi Jaya. Sambil membawa rate-card yang aku design sendiri, aku menawarkan khidmat kepada mereka yang ingin mengiklankan perniagaannya di samping beramal jariah.
     Di samping membeli iklan dalam buku program, satu khidmat baru ditawarkan iaitu membeli sepanduk berukuran 15 kaki X 4 kaki yang mengiklankan Majlis Jamuan Makan Malam dan 1/3 daripada saiznya iklan ucapan `Selamat Hari Raya. Terima Kasih Kepada Pelanggan Yang Terus Setia Bersama Kami.’ Harganya RM300.00
     “No obligation!,” kataku kepada semua pekedai gentleman.
     Pelbagai pengalaman baru, aku alami. Pengalaman berurusan dengan peniaga Cina dan Mamak, dan tentunya sebahagian besarnya Melayu.
     Sebenarnya kedai Cina mudah di kira di taman perumahan yang mempunyai hampir 2,000 rumah ini iaitu Kedai Soon Lee Trading (dua unit) dan sebuah kedai telefon (menumpang B.A. Urusbina), dua restoran Mamak, satu pasar mini Mamak, satu Kedai Buku Mamak dan sebuah kedai Seven Eleven milik peniaga Cina yang semacam Melayu punya (taukenya tidak pernah dilihat dan pekerjanya semua Melayu).
     Peniaga-peniaga ini ramah melayanku walaupun khidmat yang aku bawa untuk kebajikan umat Islam. Malah mereka berterus-terang akan membawa perkara itu kepada bos mereka atau terus mengata,”Sorry! kerana tidak dapat membantu.”
     Bagi peniaga Melayu, ada yang berkerut dahinya (macamlah aku nak tembak kerana tidak membeli iklan) dan ada yang `menipu’, bos (isterinya) keluar walhal baharu awal bulan ini dia cukup bermegah kerana kedai makannya yang menawarkan 1,000 resipi juadah puasa itu.
     Tidak kisahlah. Kita bukan hendak paksapun mereka untuk beramal jariah tapi janganlah tambah dosa.
     Dipendekkan cerita, tidak seorangpun membeli ruang iklan itu. Hanya kira-kira setengah jam kemudian, seorang wanita yang ramah suaranya membuat panggilan.
     “Encik Zulkifli ha! Ini Soon Lee Trading. Kami nak beli iklan sepanduk RM300.00 itu,” katanya lembut.
dipetik daripada blog: ceritaapaapasaja

Majlis Tahlil, Berdua Sahaja



Haji Arifin Ab. Aziz (dua dari kanan) bersama sebahagian Jawatankuasa
Persembahan Malam Amal mengabadi kenangan dengan Kumpulan
Interacsee, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Setelah diminta menyerahkan laporan kewangan dan hasil keuntungan kepada bendahari sahaja oleh Pengerusi Jawatankuasa Persembahan Malam  Tabung Amal Jariah, Pertubuhan Khairat dan Kebajikan Kariah Paroi Jaya, Haji Zain Rais, aku terus menuju rumah Haji Arifin Ab. Aziz di Jalan Kedidi 2.

     Aku disambut ceria oleh Haji Arifin, pesara Pos Malaysia. Sambil menjamah kuih raya, aku membentangkan laporan satu halaman itu.

     “Kami dapat mengutip RM4,650.00 hasil jualan ruang iklan di buku program dan sepanduk ucapan Selamat Hari Raya kepada peniaga,” kataku.

     “Tak kisah! Tak kisah! Saya terima sahaja,” kata Haji Arifin berbasa-basi.

     “Saya perlu jelaskan kedudukan. Ini duit,” kataku meredakan keadaan.

     “Alaaah! Takkan saya tidak percayakan Tuan Haji,” jawabnya pula.

     “Saya perlu jelaskan kerana Tuan Haji tidak ada dalam perbincangan awal di Restoran Rabena. Ketika itu saya jelaskan anggaran kos cetakan buku program itu sekitar RM4.50 senaskhah. Kini kami tuntut RM3.90 sahaja,” tambahku.
     “Eloklah tu. Lagi murah,” tingkahnya.
     “Lihat laporan ini. Wang masuk RM4,650. Wang keluar iaitu upah cetak buku dan sepanduk RM4,500. Jadi untungnya cuma RM150.00.”
     Haji Arifin aku lihat terdiam seketika dan berlaku sedikit perubahan di wajahnya.
     Petang semalam, sewaktu aku menyerahkan dua keping cek bernilai RM500 sumbangan iklan, Haji Arifin tidak menggantikan dengan wang tunai seperti sebelumnya.
     “Ambil tunai ini sebagai ganti cek. Kami mahu menyenangkan Tuan Haji bekerja,” katanya ketika itu.
     Mungkin kerana kesibukan menjelang malam jamuan, Haji Arifin cuma sempat berkata, “nanti kontra sahajalah,” sambil berlalu pergi.
     Melihat Haji Arifin yang terdiam, aku segera menyambung penerangan.
     “Kalau mengikut persetujuan mesyuarat, kedua-dua pihak akan berkongsi keuntungan setelah ditolak kos cetakan. Jadi, masing-masing dapat RM75 sekarang,” kataku.
     Sambil menunggu reaksi Haji Arifin yang masih leka memandang kertas laporan, aku segera terbayang wajah Nazir Masjid yang menjadi Pengerusi Malam Tabung Amanah yang menyebut dalam mesyuarat, “Berikan resit pertubuhan kepada pihak yang hendak mencari iklan ini. Macam-macam boleh berlaku,” katanya bagai memperkecilkan kejujuran kami.
     “Jangan risau Tuan Haji,” kataku kepada Haji Arifin kembali.
     “Lihat Nota 2: Walaupun masing-masing cuma mendapat RM75 setiap pihak, Storyteller Production Sdn Bhd menggenapkan RM500 sebagai jariah kami kepada pertubuhan.”
     “Selain pertubuhan mendapat buku program bernilai RM3,900, Tuan Haji tidak perlu memberikan saya tunai cek RM500 itu,” kataku.
     “Kontra sahaja.”
     Tiba-tiba sahaja wajah Haji Arifin berubah ceria kembali.
     “Siapa nama aruah ayah dan emak Tuan Haji? Mari kita sama-sama membaca tahlil kepada mereka.”
     “Minta maaf! Kedua-dua emak dan abah saya masih ada.”
     “Maaf! Maaf! Maaf!,” Haji Arifin memelukku lalu kami berdua bertahlil untuk kedua-dua ibu dan bapa mentuaku dan ayah Shariff Ahmad yang meninggal dunia, kelmarin.
dipetik daripada blog: ceritaapaapasaja

Selasa, 6 September 2011

Suara Jemaah Didengari

Alhamdulillah! Hasil undian yang dibuat melalui blog ini, Jawatankuasa Pengurusan Masjid telah menanggalkan Label VIP yang terdapat pada salah satu tandas.
Begitu juga teguran mengenai kedudukan pasu bunga yang boleh menghalang laluan, ia telah dipindahkan. Tahniah!

Kursus Lanskap

Biro Pendidikan dan Latihan Masjid Kariah Paroi Jaya bercadang menganjurkan Kursus Lanskap dalam tempoh terdekat. Kursus selama dua hari ini (Sabtu dan Ahad) akan dikendalikan oleh profesional terlatih. Peserta perlu berusia 18 tahun ke atas. Mereka yang berminat, sila maklumkan kepada kami melalui e-mel ini - rafikmasjid@gmail.com
* Pemilihan dibuat berasaskan siapa dulu, dia dapat tempat.